- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 189
Bab 3 – (T5) KUL-ASB-JED
- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 189
3 Orang Group Leader (GL) diamanahkan untuk membawa seramai 135 orang jemaah yang dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil. Ahli kumpulan aku adalah seramai 45 orang manakala selebihnya adalah di bawah GL Mahani dan juga GL Siti Nor Aisyah.
Sekitar jam 3.00 petang, Airport Team mula membawa jemaah dari kumpulan GL Mahani dahulu untuk check in bagasi di Kaunter M (Turkmenistan). Penerbangan Turkmenistan Airlines (T5-804) dijadualkan akan berlepas pada jam 6.20 petang dari KLIA T1 dan dijangka tiba di Ashgabat pada jam 12.10 tengah malam waktu tempatan untuk transit sebentar.
Seterusnya kami akan menaiki T5 (887) Penerbangan Turkmenistan pada jam 3.10 pagi dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 5.10 pagi waktu tempatan.
—------------------------------------------
Jam 3.57 petang, ramai ahli kumpulan kami telah selesai proses check in bagasi serta mendapatkan Boarding Pass di kaunter. Kelihatan hanya beberapa orang jemaah sahaja lagi yang masih berada di Kaunter M manakala yang lainnya telah selesai. Proses agak laju memandangkan banyak kaunter dibuka untuk kami.
Jam 4.59 petang aku menunggu jemaah yang lain di Pintu Pelepasan Antarabangsa C sebelum turun kebawah, melalui passport checking, kastam, menaiki bas untuk ke bangunan satelit dan seterusnya sampai ke balai berlepas.
Jemaah terakhir dari kumpulan kami sampai di pintu C4 sekitar jam 6.07 petang dan terus masuk ke perut pesawat. Aku cuma ingatkan melalui group whatsapp agar pastikan semua jemaah telah berada di dalam pesawat dan seingat aku, aku adalah orang terakhir masuk ke dalam pesawat tadi.
Aku dapat merasakan yang pesawat ini akan mengalami kelewatan penerbangan kerana pada jam 6.30 petang, tiada pengumuman kelewatan serta pesawat masih berada di tempat yang sama tanpa bergerak. Jangkaan aku betul kerana pesawat hanya berlepas pada jam 7.56 malam menuju ke Ashgabat yang akan mengambil masa kira-kira 8 jam perjalanan.
Makanan untuk makan malam dihidangkan tepat pada jam 9.00 malam. Aku sangat teruja dengan menu yang disediakan kerana ianya lain daripada apa yang pernah aku jumpa sebelum ini. Apapun, kena makan juga kerana perut lapar dan minta diisi. Selepas makan, aku cuba untuk melelapkan mata barang seketika namun cubaan aku gagal.
Pesawat kami mendarat sekitar jam 12.40 pagi, 17 Januari 2025 dan cuaca di luar kelihatan amat baik. Pertama kali menjejakkan kaki di bumi asing Turkmenistan dan kami hanya perlu mengikuti papan tanda laluan bagi penumpang transit sahaja.
Sebaik sahaja sampai ke Pintu 101 untuk pelepasan penerbangan seterusnya, aku meminta agar jemaah yang masih belum menunaikan solat jamak takhir agar segera berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Sekitar jam 2.00 pagi kami mula beratur untuk masuk ke pesawat T5 887 Turkmenistan yang dijangka akan berlepas pada jam 3.10 pagi, mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke Jeddah dan dijangka tiba pada jam 5.10 pagi (perbezaan waktu 2 jam di antara Ashgabat dan Jedah).
Sekali lagi kami dihidangkan dengan set menu yang sama namun kali ini aku memilih untuk mencuba nasi berlauk daging. Boleh tahan juga namun ianya masih tidak kena dengan tekak melayu aku.
..... bersambung.