- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 310
Bab 5 – Taif aku datang!!
- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 310
17 Januari 2025 - Sekitar jam 8.50 pagi bas kami mula bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz menuju ke Taif sebagai destinasi pertama berdasarkan jadual yang telah disediakan. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam setengah dan aku sedikit teruja memandangkan semasa musim haji dahulu aku tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke sini. Alhamdulillah.
Ustaz Mansur memulakan ucapan dan taklimat dengan memperkenalkan diri beliau serta memaklumkan tentang pergerakan kumpulan di Taif secara amnya. Beliau juga berkongsi pengalaman serta sirah Rasulullah SAW tentang bagaimana perjalanan Baginda ke Taif dan apa yang berlaku untuk dijadikan panduan dan pengajaran kepada umat Islam.
Tiba di Taif sekitar jam 12.10 tengahari dan kami sempat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Abdullah Ibn Abbas1. Bas berhenti di satu kawasan tempat letak kenderaan dan kami terus turun menuju ke masjid kerana waktu Zohor hampir tiba.
Aku mengambil wuduk dan masuk ke dalam ruang solat untuk solat sunat. Sebaik sahaja selesai berdoa, azan Zohor mula berkumandang dan khatib terus bangun untuk membacakan khutbah. Satu pengalaman baru bagi sesetengah jemaah yang baru pertama kali sampai ke sini.
—-------------------------------------
1The Abd Allah ibn al-Abbas Mosque (Arabic: مَسْجِد عَبْد ٱللَّٰه ٱبْن ٱلْعَبَّاس, romanized: Masjid ʿAbd Allāh ibn al-ʿAbbās) is a historic Sunni Islam mosque located in the city of Taif within the Mecca Province, Saudi Arabia. The mosque is named after Ibn Abbas, who is buried within the grounds of the mosque. - https://en.wikipedia.org/wiki/Abd_Allah_ibn_al-Abbas_Mosque
Selesai solat, aku mengambil peluang untuk bergambar di luar bangunan masjid. Aku juga sempat membeli 3 botol jus buah delima yang dijual oleh peniaga yang berada di sekitar masjid dengan harga SAR10. Sedap dan berbaloi.
Sekitar jam 2.00 petang, bas mula bergerak ke hotel penginapan kami iaitu di Al Taif Gate Hotel Suites yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Masjid Abdullah Ibn Abbas.
Disebabkan oleh pengurusan bilik yang telah disusun dan disiapkan dengan baik oleh pihak PIC In Saff dan juga mutawif bertugas, kami dapat check in bilik tanpa sebarang masalah. Aku ditempatkan bersama dengan Bro Khuzaifah, Uncle Wan Abd Rashid dan Bro Anas Syafiq yang merupakan jemaah dari kumpulan GL Aisyah.
Semua jemaah menuju ke bilik masing-masing untuk berehat namun aku hanya naik ke bilik sekitar jam 4.40 petang selepas puas melepak di lobi sahaja sambil menikmati keindahan persekitaran hotel. Bilik yang disediakan untuk sangat besar dan selesa bagi kami berempat.
Satu perkara yang menarik adalah terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Sheikh Saud bin Ibrahim Al Osaimi yang terletak betul-betul di sebelah hotel kami, selesa dan mendamaikan. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib, aku terus ke lobi hotel untuk makan malam yang telah disediakan oleh In Saff Travel and Tours.
Dengan suhu di luar sekitar 21oc aku langsung tidak menggunakan aircond bilik. Itupun dah terasa kesejukannya.
Perjalanan kami dari Malaysia (KLIA) hingga sampai ke hotel penginapan telah hampir 24 jam. Badan terasa amat letih dan tidak cukup tidur. Akhirnya aku terlena dalam kepenatan di dalam sebuah bilik yang gedabak besarnya.
.... bersambung.