- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 118
Bab 6 – Ziarah sekitar Taif
- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 118
18 Januari 2025 – Sebenarnya ada satu peristiwa menarik yang berlaku malam tadi di bilik aku. Dah lah aku diberikan satu bilik master yang amat luas, duduk seorang dan aircond pulak bermasalah kerana tidak boleh ditutup ataupun ubah setting menggunakan remote. Suhu dalam bilik aku lagi sejuk dari suhu di luar bangunan, memang bekulah aku dalam bilik ini nanti.
Puas membelek remote dengan harapan ianya berfungsi namun harapanku kecewa. Akhirnya aku mendapat idea untuk menutup sahaja fius di DB kerana biasanya setiap aircond akan menggunakan fius yang berasingan. Aku cuba off kan satu persatu fius dengan bantuan Bro Jai dan dengan 2 kali percubaan sahaja, aircond bilik aku terus terpadam. Yeaay!!
------------------------------------------
Waktu Subuh di Taif adalah pada jam 5.38 pagi dan aku memang terjaga awal sebelumnya. Semua roommate sedang sibuk bersiap dan kami keluar untuk ke masjid berhampiran bersama dengan suhu pada ketika itu mencecah 11oc. Wow!!
Memang aku dah agak yang suhu sebegitu berdasarkan forecast. Sebab itu aku berusaha juga untuk menutup aircond bilik aku malam tadi. Jika tidak memang aku tak boleh tidur akibat dari kesejukan.
Selesai solat, aku ambil kesempatan untuk menghirup udara pagi sambil mengambil gambar masjid dan sekitarnya. Jam 6.20 pagi, aku terjumpa satu spot sunrise di celahan bangunan. Aku juga dapat membantu satu keluarga jemaah untuk merakamkan detik tersebut bersama-sama.
“Terima kasih Ustaz, cantik gambarnya”. Aku senyum tanda puas hati kerana dapat berkhidmat untuk mereka.
Jam 6.45 pagi, nasi lemak untuk sarapan pagi telah sampai dan tersedia. Terubat kerinduan menjamah makanan Malaysia di bumi Arab.
Pagi ini tiada aktiviti rasmi diaturkan namun disebelah petangnya kami akan melawat kilang bunga ros dan juga Al Hada Cable Car sebelum berangkat ke Mekah untuk melaksanakan umrah pertama kami. Sebelum itu kami perlu berihram dan seterusnya bermiqat di Qarnul Manazil.
Jemaah diminta untuk meletakkan beg bagasi mereka di tingkat 3 serta menyusun berdasarkan pakej dan juga kumpulan masing-masing. Semua beg ini akan diangkat oleh petugas untuk dimuatkan ke dalam perut bas.
Ramai jemaah yang mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar hotel samada berjalan kaki ataupun menaiki teksi sambil menikmati suasana dan juga pemandangan yang asing. Aku hanya duduk di lobi sambil menunggu para jemaah yang hendak membuat bayaran wakaf dan juga sabil.
Selesai solat Zohor pada jam 12.29 tengahari, semua jemaah diminta check out dan turun ke lobi. Pada masa yang sama, petugas sedang sibuk membawa dan menyusun beg-beg kami di bawah bas. Kami menyusun 135 orang jemaah masuk ke dalam 3 buah bas berdasarkan pakej dan juga hotel yang akan mereka duduki di Mekah nanti.
Dua orang jemaah dari kumpulan aku iaitu Shafiq dan isteri menaiki bas yang membawa kumpulan GL Mahani kerana mereka akan check in di hotel yang berlainan semasa di Mekah nanti. Kumpulan aku dan juga GL Aisyah menaiki 2 bas yang dan akan menginap dihotel yang sama.
Jam 1.40 tengahari bas mula bergerak meninggalkan hotel dan menuju ke sebuah restoran nasi arab untuk makan tengahari. Untuk makluman, In Saff Travel and Tours telah bermurah hati untuk menaja semua makanan sejak kami sampai di Taif. Terima kasih daun keladi.
Sekitar jam 2.30 petang kami sampai di Restoran Mator Wa Ghuyum yang sangat happening. Ramai jemaah dari Malaysia dan juga Indonesia menjamu selera di sini. Semua jemaah boleh berkongsi makanan untuk 4 orang yang tersedia di dalam satu dulang. Terdapat juga makanan lain seperti waffle, kunafa dan sebagainya. Dekorasi tempat makan juga menarik dan selesa. Makanan pun sedap dan kami sangat berpuashati.
Jemaah juga sempat membeli belah barangan cenderahati dan juga jajan dari gerai-gerai yang terdapat di kawasan tersebut.
Sekitar jam 3.30 petang kami bertolak ke Rashed Al Qurashi Factory iaitu kilang pembuatan minyak wangi dan barangan kecantikan lain yang berasaskan bunga ros. Terletak kira-kira 7 km atau 9 minit perjalanan ke arah selatan.
Ramai yang terpesona dengan wangian bunga ros dan membelinya sebagai tanda kenangan. Aku hanya berdiri diluar menikmati angin dingin sambil berbual-bual dengan jemaah dan juga mengambil gambar berlatar belakangkan bukit dan juga kilang bunga ros.
Akhirnya kami sampai di Al Hada Cable Car sekitar jam 5.07 petang iaitu destinasi terakhir sebelum berangkat ke Mekah untuk memulakan proses umrah pertama kami.
Al Hada Cable Car adalah salah satu destinasi pelancongan yang sering dilawati oleh orang luar. Dengan suasana yang nyaman, pengunjung dapat menikmati pemandangan yang menakjubkan dari dalam kereta kabel yang bermula dari Jabal al Hada hingga ke kaki Bukit Karakoram di sebelah bawah.
Kebanyakkan jemaah mengambil kesempatan untuk merasai sendiri keseronokan menaiki kereta kabel dan juga toboggan. Aku seperti biasa hanya bersiar-siar dipersekitaran resort, mengambil gambar serta membiarkan GL Mahani dan juga GL Aisyah menjaga jemaah yang menaiki cable car.
Jam 6.21 petang, suhu pada waktu itu adalah 21oc namun dengan tiupan angin yang agak kencang membuatkan aku dalam kesejukan walaupun ada alat pemanas badan sewaktu aku dan mutawif mengeteh di sebuah café yang terdapat di situ.
Sekitar jam 7.00 malam, kami telah berada di dalam Masjid Al Hada untuk bersiap sedia memakai ihram. Aku membantu jemaah lain terutamanya yang baru pertama kali memakainya. Kami sebagai kumpulan terakhir, sempat menunaikan solat sunat Ihram sebelum bergerak keluar mendapatkan bas bersama jemaah yang sedia menunggu.
... bersambung.