- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 211
Bab 8 - Mekah dan Umrah Pertama
- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 211
Tidak sabar untuk tiba di Mekah dan seterusnya melaksanakan Umrah wajib yang pertama. Sepanjang perjalanan teringatkan kembali detik-detik aku bersama isteri serta para sahabat jemaah haji KT056 sedang menuju ke Mekah dari Jeddah. Biarpun laluannya berbeza namun perasaannya adalah sama iaitu debaran menuju ke Baitullah.
Perasaan para jemaah sudah pastinya bercampur baur dan gementar kerana kami akan menatap wajah Ka'bah betul-betul di hadapan mata kelak. Baik untuk mereka yang baru pertama kali, ataupun mereka yang pernah sampai ke sini pun akan tetap berasa teruja dan gementar.
Jam 10.04 malam bas kami berada di hadapan hotel penginapan iaitu Baraka Al Refa yang terletak di barisan belakang di antara hotel-hotel yang terdapat di Al Rahmah Street atau dikenali sebagai Mahbas Jin. Aku pula memanggilnya sebagai kawasan ‘sebelah terowong’.
Di antara hotel-hotel lain yang terdapat di sini adalah seperti Hotel Elaf Bakkah, Hotel Bab Al Multazam, Hotel Al Jawhara dan banyak lagi.
Kawasan ini mempunyai laluan terowong yang membelah Bukit Khandama dan akan membawa para jemaah ke Stesen Bas Al Haram atau sebaliknya. Perkhidmatan bas ini disediakan secara percuma oleh kerajaan Arab Saudi. Terdapat juga perkhidmatan bas shuttle yang disediakan oleh hotel-hotel kepada jemaah yang menginap di hotel mereka.
Petugas In Saff memulakan taklimat ketibaan di lobi hotel sekitar jam 10.08 malam sambil mengagihkan kunci bilik kepada roommate yang telah sampai. Jemaah akan mendapat roommate masing-masing sebagaimana di Taif sebelum ini.
Semua beg jemaah telah dikeluarkan dari bas dan disusun oleh petugas di tingkat 7 dan juga tingkat 8. Sebahagian beg berada di dalam sebuah lagi bas yang membawa GL Aisyah bersama jemaah dan mereka tiba agak lewat sedikit. Para jemaah diminta naik ke bilik masing-masing untuk menunaikan Jamak Isyak dan Maghrib serta berehat dalam keadaan berihram. Mereka akan turun semula ke lobi apabila dimaklumkan bagi melaksanakan proses Umrah yang selanjutnya.
Jam 11.30 malam kami mula berkumpul di lobi untuk sama-sama bergerak ke Masjidil Haram dengan menaiki bas awam. Dalam masa yang sama, kumpulan GL Aisyah mulai sampai di lobi namun bas mereka tidak boleh masuk ke perkarangan hotel untuk menurunkan beg kerana keadaan jalan yang terlalu sesak. Mereka hanya berjalan kaki ke hotel bersama beg yang berada di tangan sahaja.
Jam 12.05 pagi, 19 Januari 2025 kumpulan kami telah sampai di Stesen Bas Al Haram dalam keadaan yang ceria serta bersemangat untuk melaksanakan Umrah pertama. Kumpulan kami yang dibimbing oleh Ustaz Mansur sebagai Mutawif terus berjalan menuju ke As Salam Gate melalui laluan atas, turun di Ajyad Ramp dan masuk ke Masjidil Haram melalui Pintu Ajyad.
Jam 1.14 pagi, dengan penuh debaran kami sampai di escalator yang membawa jemaah terus ke Mataf. Allahu Akbar, terlalu ramai jemaah hingga ke penghujung kawasan Mataf. Tidak terfikir begitu ramainya jemaah pada waktu ini.
Kami terus berjalan dan menyusup masuk ke dalam lautan manusia yang sedang melakukan tawaf. Maka bermulalah perjuangan kami untuk melaksanakan 7 pusingan Tawaf Wajib buat kali pertama. Walaupun keadaan jemaah yang ramai dan bersesak-sesak, ianya langsung tidak menghalang dan mematahkan semangat kami untuk terus mara kehadapan.
Selepas 2 jam 12 minit, aku dapat selesaikan 7 pusingan tawaf dan juga 7 pusingan Saie. Jam pada ketika itu menunjukkan sekitar jam 3.00 pagi dan aku bercadang untuk terus balik ke hotel bagi melaksanakan Tahallul dengan bercukur rambut. Aku tidak mahu bertembung dengan jemaah yang mulai hadir ke Al Haram untuk menunaikan solat Subuh.
Aku dan Bro Rahman berjalan laju menuju stesen bas untuk kembali di hotel. Semuanya mudah sehinggalah kami sampai di barber yang berhampiran dengan hotel kami. Aku orang kedua selepas Rahman untuk bercukur. Kemudian barulah Mukhriz, Afiffuddin, Zuhair, Bro Roduan dan Adam sampai. Ramai juga jemaah yang masih terus berada di Al Haram untuk solat Subuh.
Alhamdulillah, perjuangan kami dalam melaksanakan Umrah pertama berakhir dengan jayanya. Aku juga tumpang gembira melihat semua jemaah berjaya melaksanakan umrah mereka (kecuali seorang). Semoga Allah menerima amalan kami dan dianugerahkan umrah yang Mabrur.
bersambung ....