- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 402
Bab 7 - Miqat di Qarnul Manazil
- Umrah pertamaku - Januari 2025
-
COMMENTS
- Hits: 402
Semasa mengerjakan haji pada tahun 2023 dahulu, kami memilih untuk masuk ke Mekah dahulu sebelum Madinah. Aku dan jemaah yang lain terus memakai kain ihram (sebelah bawah) dan t-shirt di sebelah atas sejak dari KLIA lagi. Setengah jam sebelum tiba di Qarnul Manazil (tempat miqat), kru penerbangan akan mengingatkan para jemaah supaya memakai ihram yang lengkap serta bersedia untuk berniat umrah.
Oleh kerana penerbangan kami melalui Qarnul Manazil sebelum turun ke Jeddah maka kami akan berniat Ihram semasa di dalam kapal terbang. Kenangan yang tidak dapat dilupakan.
----------------------------------------
Jam 7.37 malam kami telah berada di dalam bas yang sedang bergerak menuju ke Qarnul Manazil. Kebanyakan jemaah berehat dan tidur keletihan kerana seharian melakukan aktiviti siang tadi. Aku sangat teruja kali ini kerana kami akan betul-betul singgah sebentar di Masjid Qarnul Manazil bagi berniat ihram.
Tepat jam 8.30 malam, kami sampai di pekarangan Masjid Qarnul Manazil. Ketika ini, sebuah kereta peronda polis berada di laluan berhampiran masjid dan tidak membenarkan kami masuk kecuali ke kawasan yang dikhaskan untuk bas iaitu lebih jauh sedikit jika hendak ke masjid.
Walaupun kami tidak turun dan telah selesai solat sunat Ihram semasa di Masjid Al Hada tadi, tapi kami berhenti sebentar di Masjid Qarnul Manazil untuk bermiqat ataupun berniat Ihram. Kami hanya sekadar melihat keindahan masjid dari dalam bas sahaja. Namun begitu, rancangan Ustaz Mansur untuk tidak turun secara tidak langsung telah mempercepatkan perjalanan kami ke Mekah.
Bermula dari Qarnul Manazil, Ustaz Mansur memberikan taklimat berkenaan Umrah pertama yang bakal kami laksanakan nanti. Beliau juga memaklumkan tentang lokasi hotel penginapan kami, pergerakan jemaah dari hotel hingga ke Masjidil Haram, melakukan tawaf, saie dan seterusnya bertahallul serta perkara-perkara yang berkaitan.
Ustaz Mansur mengetuai bacaan Talbiah bersama-sama dengan Ustaz Sulaiman sambil diikuti oleh para jemaah yang lain. Mendayu-dayu dan sangat terkesan di dalam hati. Bas kami membelah kegelapan malam menuju ke Rumah Allah diiringi dengan suara Talbiah dari kumpulan kami.
Mekah, kami datang!!