Bab 2 : MH370 hilang, teruskan trip ke Beijing?
Atas alasan untuk menjimatkan perbelanjaan dan juga masa, akhirnya Bryan berjaya menempah penerbangan yang sama dengan kami walaupun sedikit lewat. Penerbangan kami, Cathay Pasific (CX720) ke Hong Kong dan seterusnya bersambung dengan Air China (CX6112) pada 8 Mac 2014 dijangka tiba di Beijing pada jam 5.30 petang waktu tempatan. Aku sedikit lega memandangkan hanya beliau seorang sahaja yang boleh berbahasa China dan tahu selok belok mengenai Beijing berbanding dengan aku dan juga Arwah Hanizar.
Seawal pagi 8 Mac 2014 sebagaimana yang telah dirancang, kami berkumpul di rumah arwah Hanizar di Subang Jaya, Selangor dan seterusnya bertolak ke KLIA. Perjalanan agak lancar tanpa apa-apa gangguan trafik. Aku agak gementar memandangkan inilah kali pertama aku akan ke luar negara menggunakan kapal terbang dengan tempoh perjalanan yang agak lama.
Aku sebenarnya tidak menjangka akan turut serta dalam trip ke Beijing ini memandangkan aku hanyalah seorang web developer untuk program International Chinese Film Festival - ICFF (Malaysia) sahaja, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Bro Habib meminta aku menggantikan tempat beliau yang sepatutnya bersama-sama Bryan dan juga arwah Hanizar ke Beijing. Bro Habib merupakan senior aku di SEMSAS manakala beliau berkawan rapat dengan arwah Hanizar dan juga Bryan.
Sampai di KLIA aku hanya menuruti arahan dari mereka berdua sahaja tanpa bantahan memandangkan aku tiada langsung pengalaman untuk international flight seperti ini. Kami sempat mengambil sarapan pagi sebelum check in dan menunggu di balai berlepas sekitar jam 7.30 pagi. Dalam kesibukan tersebut, kami memang tidak sempat memegang telefon bimbit sehingga akhirnya kami menerima khabar berita mengenai kehilangan penerbangan MH370 melalui saluran TV yang ada di balai berlepas.
MH370 adalah penerbangan MAS terus ke Beijing dan bertolak dari KLIA pada jam 12.41 pagi, 8 Mac 2014 dan inilah sebenarnya penerbangan yang hampir ditempah oleh Bryan sebelum ini. Hati aku terus berdebar kencang sambil mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana menggerakkan hati kami untuk tidak memilih penerbangan tersebut.
Secara tiba-tiba banyak panggilan telefon, sms dan juga whatsapp bertalu-talu masuk dan tanpa sedar rupanya terdapat banyak panggilan dan whatsapp tidak berjawab sebelum ini di telefon masing-masing.
Ramai sahabat dan kenalan yang tahu tentang perjalanan kami ke Beijing cuma mereka tidak tahu secara terperinci tentang masa dan penerbangan apa. Ramai yang menarik nafas lega sebaik sahaja mendengar suara kami dari corong telefon dan juga mendapat balasan text dari kami.
Sebaik sahaja mendengar berita tergempar tersebut, kami terus berbincang samada ingin meneruskan perjalanan ke Beijing atau sebaliknya. Ini adalah kerana peristiwa yang baru berlaku ini pasti akan memberi kesan kepada program kami nanti. Arwah Hanizar dan Bryan sibuk menghubungi semua pihak di Beijing yang terlibat dengan program kami termasuklah Kedutaan Malaysia dan juga Tourism Malaysia.
Kejadian yang berlaku ini memberikan impak yang sangat besar keatas Malaysia dan juga China selain dari negara-negara lain (penumpang) yang turut berada di dalam penerbangan MH370.
Kami sebenarnya dapat menjangkakan bahawa program yang dirancang (International Chinese Film Festival Malaysia) nanti terpaksa ditunda atau mungkin juga akan terus dibatalkan. Agak sukar untuk memastikan semua bakal jemputan yang terdiri dari penggiat filem, artis dan juga semua yang terlibat didalam industri filem di China akan hadir ke Malaysia selepas peristiwa tersebut.
Adakah kami akan meneruskan perjalanan ke Beijing? Jika ya, bagaimanakah penerimaan warga China sebaik sahaja kami (warga Malaysia) tiba di lapangan terbang Beijing nanti?.
Bersambung ...